cara-memulakan-perniagaan-emas
| |

Cara Memulakan Perniagaan Emas, Risiko & Kelebihannya

Cara Memulakan Perniagaan Emas, Risiko & Kelebihannya | Orang beli emas, itu perkara biasa. Dekat mana-mana pun kita boleh nampak. Kalau lalu depan kedai emas tu, boleh nampak betapa ramai orang sanggup beratur semata nak beli emas. Lagi-lagi bila ada koleksi terbaru. Tapi pernah tak anda terfikir untuk buka kedai emas? Atau mungkin anda sebenarnya memang sedang mencari panduan bagaimana boleh memulakan perniagaan emas ini? Jika benar anda mahu tahu cara memulakan perniagaan emas, anda sedang membaca artikel yang tepat untuk tujuan tersebut.

Ramai yang bertanya bagaimana untuk memulakan perniagaan emas sejak ekonomi merudum ni, oleh itu dalam artikel ini saya cuba untuk kongsikan info tentang cara memulakan perniagaan emas termasuk risiko perniagaan emas ini sekali. Saya juga akan kongsikan info berkaitan berapa modal buka kedai emas ini sebagai rujukan mengikut bacaan yang telah saya baca menerusi carian Google.

cara-memulakan-perniagaan-emas
cara memulakan perniagaan emas

Nak Berniaga Emas? Ini Risiko Perniagaan Emas Yang Ramai Orang Tak Tahu

1. Tak Sesuai Untuk Dapatkan Untung Segera Dalam Jangka Masa Pendek

Nilai emas ada masa naik dan ada masa turun. Harganya tidak menentu tetapi dijangka naik dari tahun ke tahun. Maka jumlah pembeli yang akan membeli emas dari kita tidak akan menentu juga. Ada kalanya pembeli ramai dan adakalanya kurang mendapat sambutan terutama tatkala harga emas melonjak naik.

2. Perlu Mencari Penjual & Pembeli Yang Betul

Emas melibatkan nilai yang besar maka cukup mudah terdedah kepada kerugian jika tersalah memilih penjual dan pembeli yang betul.

3. Rompakan dan Kecurian

Pemilik kedai emas juga perlu berdepan dengan risiko kecurian dan rompakan yang boleh berlaku pada bila-bila masa.

4. Perlukan Tempat Simpanan Yang Kebal

Jangan hanya fikirkan modal untuk mula beli stok emas untuk dijual tetapi perlu fikirkan juga bagaimana untuk menyimpan semua stok emas tersebut supaya sentiasa selamat. Pemilik perniagaan emas perlu sediakan tempat simpanan yang sepatutnya supaya segalanya terjamin.

5. Terlibat dengan Scammer

Tuan empunya (pemilik) perniagaan emas ini bila-bila masa boleh didekati oleh mereka yang tidak boleh dipercayai. Makin risau jika didekati oleh golongan scammer yang dengan sengaja ingin cuba menjerat kita supaya menjadi mangsa kepada penipuannya.

 

Kelebihan Menjalankan Perniagaan Emas Tetap Ada Untuk Dipertimbangkan

Seperti yang kita tahu, permintaan untuk emas tak pernah menurun. Walau ketika ekonomi dunia tak begitu stabil, permintaan emas tetap ada. Sebabnya menyimpan emas merupakan pelaburan jangka panjang yang terbaik dan boleh menjadi magnet untuk kekayaan. Lagi satu emas kalis inflasi kerana nilainya yang sentiasa naik dari sehari ke sehari. Kalau turun pun, sekejap je. Lepas tu harga emas akan naik balik.

Meskipun ada beberapa risiko tetapi tidak boleh dinafikan yang perniagaan emas ini turut mempunyai kelebihannya yang tersendiri.

Berapa Modal Buka Kedai Emas Untuk Mula Berniaga?

Perkataan emas tu sendiri dah nampak mahal. Betul tak? Dan semestinya untuk memulakan perniagaan emas memerlukan modal yang sangat besar. Bagi yang bercadang untuk berniaga secara kecil-kecilan, minimum modal yang diperlukan ialah RM10k. Manakala untuk membuka kedai emas, minimum modal dalam lingkungan RM500k hingga RM1juta. Untuk tahu berapa modal nak buka kedai emas dan berapa kilogram minimum emas nak letak dalam cermin kaca di kedai, itu bergantung pada skala besar perniagaan yang ingin anda mulakan.

 

Panduan Cara Memulakan Perniagaan Emas Sebagai Asas

1. Pembekal Yang Baik

Pembekal yang baik merupakan perkara paling penting dalam perniagaan emas. Antara ciri-ciri pembekal yang baik ialah mereka boleh jual stok emas dalam kuantiti yang korang perlukan. Lagi bagus kalau pembekal tu sentiasa boleh penuhi order korang. Maknanya korang tak perlu nak tunggu lama untuk dapatkan stok tersebut. Rugi kalau kena tunggu lama-lama ni sebab pelanggan sentiasa nak cepat.

Selain tu,  pembekal yang baik juga mampu supply emas ketika harga emas naik atau turun. Penting ni. Bayangkan bila harga emas tengah naik, bukan main banyak pula stok emas mereka. Tapi bila harga emas turun dan orang ramai mula berpusu-pusu nak beli emas, pembekal korang pula tak mampu nak supply emas. Masak kalau macam ni. Boleh lari pelanggan korang nanti.

Lepas tu, pembekal yang baik ialah pembekal yang sanggup beli balik emas pada spread yang kecil. Bukan mereka yang hanya setakat jual emas pada korang, lepas tu tak nak ambil balik emas yang mereka jual walaupun korang dah potong harga sampai 10% keatas.

 

2. Pembeli Yang Baik

Selain daripada pembekal yang baik, pembeli yang baik juga sangat penting bila nak berniaga emas ni. Ciri pembeli yang baik ialah mereka akan bayar cash bila beli atau semasa lock harga emas. Bila dah lock pada satu-satu harga yang dipersetujui, mereka bersikap jujur dan berpegang pada janji.

Pembeli  jenis yang datang kedai kemudian beli terus secara cash, tu takde masalah. Yang selalu jadi masalah bila ada pembeli yang lock harga. Masa lock, bukan main janji manis. Tapi bila tiba-tiba harga emas turun, mula lah mereka berdrama. Nak lock harga baru lah, nak minta diskaun lah, nak batalkan pembelian dan macam-macam perangai lagi. Walau kita selalu dengar yang customer is always right, hakikatnya customer yang fussy dan bermasalah seperti ni hanya akan membuang masa dan boleh merugikan perniagaan korang.

 

syarikat emas di malaysia
syarikat emas di malaysia

3. Mempunyai Tunai Yang Banyak

Bila nak berniaga emas, duit tunai adalah raja. Lebih banyak tunai (modal), lebih banyak stok yang kita boleh beli.

Lebih banyak stok, bermakna lebih ramai pelanggan datang dan beli.

Tunai yang banyak boleh beri untung pada korang. Macam mana? Senang je, Bayangkan masa harga emas turun, korang boleh beli stok emas yang banyak dengan tunai yang korang ada tu. Dan kemudian jual bila harga emas naik. Dekat situ korang dah boleh gandakan keuntungan perniagaan emas korang.

Wang tunai ini bukan saja penting untuk beli stok emas dari pembekal tapi korang perlukan tunai untuk beli balik emas dari pelanggan. Lagi-lagi kalau korang berniaga dalam business emas terpakai. Lagi lah banyak tunai yang kena ada. Sebabnya selalunya pelanggan yang datang ke kedai untuk jual emas, mereka dalam situasi yang memerlukan tunai segera.

 

4. Amanah dan Dipercayai

Sifat amanah dan boleh dipercayai merupakan kunci utama untuk berjaya. Bila kita dah order stok dengan pembekal, jangan nak batalkan order tu pula. Bila pembeli dah transfer duit, kita kena cepat-cepat hantar emas yang dibeli tu. Bila pembeli dah lock pada satu-satu harga, kena lah ikut persetujuan tersebut walau korang terpaksa rugi sedikit.

Kalau ada masalah, berterus-terang dengan pembeli. Jangan beri banyak alasan dan berdolak-dalik. Jangan sesekali bersifat khianat atau tipu pelanggan. Korang tak kan selamat dan duit yang diterima pun tak berkat.

 

5. Gali Ilmu Tentang Emas Tanpa Jemu

Nak berniaga kena ada ilmu. Tanpa ilmu, kita tak kan berjaya dan perniagaan kita tak ke mana. Sebaiknya sentiasa lah belajar lebih banyak ilmu dan pengetahuan tentang emas. Banyak dah sekarang ni artikel-artikel di internet tentang selok-belok perniagaan emas yang dikongsi oleh jutawan emas. Boleh juga bertanya pada mereka yang ada pengalaman lebih lama dalam bidang emas ni.

Ilmu tentang marketing pun sama penting. Sekarang ni sosial media seperti Instagram, Tik Tok dan Facebook merupakan platform paling utama dan berkesan untuk kita promosikan perniagaan kita. So masuklah kelas-kelas online atau join seminar dan kursus yang boleh tingkatkan skill marketing business korang tu.

Bila semua ilmu tu kita dah ada, kita akan rasa yakin untuk jual produk kita dan lebih bersedia untuk berdepan dengan pelanggan. Bila kita yakin, pelanggan pun jadi lebih yakin dengan kita dan peluang untuk raih lebih banyak jualan pun semakin tinggi. Simple kan?

Fahami selok belok perniagaan tersebut agar tak salah arah dan kecundang di tengah jalan sebabnya modal yang bakal dikeluarkan bukan sedikit nilainya. Semoga artikel ini bermanfaat buat semua yang membaca.

 

6. Carilah Mentor Untuk Ajar Cara Memulakan Perniagaan Emas Dengan Betul

Nasihat terakhir, sebelum memulakan perniagaan emas ini, carilah mentor yang boleh mengajar anda tentang selok belok bisnes perniagaan emas ini. Emas memerlukan modal yang agak tinggi. Anda nak berniaga emas tidak salah. Tapi, pastikan semuanya dilakukan dengan persediaan yang rapi sebelum bermula.

 

Cara Memulakan Perniagaan Emas Sudah Ada! Lakukan Sungguh-Sungguh Hingga Berjaya

Benar, perniagaan emas ini berisiko tinggi. Tapi, jika anda yakin dan benar-benar percaya pada diri, usahakan dengan bersungguh-sungguh. Jika orang lain boleh berjaya, kenapa tidak anda? Apapun, sebagaimana yang telah dikongsikan tadi. Pastikan anda melakukan persediaan yang rapi sebelum bermula. Untung rugi dalam sesebuah perniagaan itu adalah sebuah perkara biasa. Saya doakan agar perniagaan anda berjaya dan semoga terus maju dari masa ke semasa.

Jangan lupa, rezeki itu semuanya dari Allah SWT maka perbanyakkan solat dan doa. Perbanyakan juga amal soleh supaya ianya memberi sebuah ketenangan untuk ke arah yang lebih baik. Setelah untung nanti amalkan bayaran zakat dan bersedekahlah pada yang memerlukan. Semakin banyak bersedekah pasti semakin juga untung perniagaan anda. Aamiin.

Artikel Menarik Lain :

 

Similar Posts

4 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *