Apa Itu Influencer dan Cara Jana Pendapatan Sebagai Influencer
Ingin tahu Apa Itu Influencer dan Cara Jana Pendapatan Sebagai Influencer? Baca artikel ini hingga tamat.
Semua orang pasti pernah dengar tentang influencer dan ramai juga sebenarnya yang ada memendam cita-cita untuk menjadi social media influencer.
Mana tidaknya, kalau dilihat dari sudut kaca sosial media, influencer adalah golongan yang ada segala-galanya. Kemewahan, reputasi, kestabilan kewangan dan macam-macam lagi.
Jadi tidak hairanlah kalau seseorang itu ada pasang cita-cita untuk menjadi seorang influencer. Influencer ini sebenarnya adalah individu yang mempunyai pengaruh dan mempunyai target audiences mereka yang tersendiri.
Dari sini kita dapat lihat mereka yang berada dalam bidang hiburan seperti penyanyi, pelawak, pelakon mereka ini adalah natural influencers. Mereka mempunyai pengikut yang ramai dan mampu mencipta ‘trend’ baharu.
Contoh mudah lihat daripada tindakan pasangan artis suami isteri Scha Alyahya dan Awal Ashaari membuka akaun instagram anaknya Lara Alana pada 2014 telah menjadi ikutan orang ramai termasuk dalam kalangan artis sendiri.
Padahal, pada zaman itu jarang untuk komuniti Malaysia untuk meletakkan anak mereka yang baru lahir di sosial media. Tapi disebabkan kuatnya pengaruh yang dibawa pasangan suami isteri ini, membuka akaun instagram anak telah menjadi satu perkara biasa hingga ke hari ini.
Tahap-Tahap Influencer
Influencer ini ada beberapa tahap, makin tinggi tahapnya makin tinggi lah pengaruhnya. Satu cara mudah untuk ukur adalah melalui pengikut-pengikut yang ada di media sosial.
Mega Influencer (>1 juta pengikut)
Mega Influencers ini golongan yang boleh dikategorikan sebagai mereka yang sangat berpengaruh. Tindakan yang dilakukan oleh influencer dalam kategori Mega ini boleh memberi kesan dari pelbagai aspek termasuklah politik, ekonomi, dan sosial.
Kita lihat daripada individu terkaya dunia sendiri iaitu Elon Musk, beliau pernah memuat naik satu tweet mengenai bitcoin dan power saving, yang telah menyebabkan harga bitcoin meningkat naik hanya disebabkan oleh tweetnya yang hanya memberi pandangan.
Macro Influencer (500,000 hingga 1,000,000)
Macro Influencers adalah satu tahap di bawah Mega Influencers. Influencer dalam kategori ini juga mempunyai jumlah pengikut yang ramai dan mempunyai pengaruh yang besar terhadap pengikut-pengikutnya.
Biasanya mereka dalam golongan ini terdiri daripada ahli-ahli politik dan atlet-atlet. Rata-rata mereka yang berada dalam golongan ini mempunyai sekurang-kurangnya 100,000 pengikut di sosial media dan boleh mencecah hingga ke 500,000 pengikut.
Micro Influencer (10,000 hingga 50,000)
Beralih ke tahap ketiga iaitu micro influencers. Kebanyakan mereka dalam kategori ini adalah mereka yang mendapat pengikut hasil daripada perkongsian bakat yang mereka ada di sosial media.
Mereka tidak terdiri dari golongan artis ataupun ahli perniagaan yang terkenal. Ramai daripada pengguna-pengguna YouTube, TikTok, Twitter, dan Instagram berada dalam kategori ini. Mereka mempunyai pengikut antara 10,000 hingga 50,000.
Nano Influencer (100 hingga 10,000)
Nano Influencers adalah mereka yang menggunakan sosial media harian dan menjadikan laman web seperti YouTube, TikTok, Twitter, dan Instagram sebagai platform untuk mencari pengikut.
Mereka ini bukan influencer professional yang mempunyai kemahiran dan alatan yang lengkap dan kebanyakan dari mereka masih lagi berada di tahap awal untuk mencipta nama.
Cara Jana Pendapatan Sebagai Influencer
Lepas memahami apa itu influencer kita beralih kepada bahagian yang memang ramai nanti-nantikan isi kandungannya. Bagaimana Influencer dapat jana pendapatan ribuan ringgit secara konsisten.
Penulisan dari akhbar Harian Metro menyatakan yang rata-rata influencer meraih pendapatan sebanyak RM10,000 sebulan meskipun masih lagi belajar. Mereka yang bekerja sebagai social media influencers ini dibayar setinggi lingkungan RM100 hingga ke RM500 untuk satu video review yang dimuatnaik.
Dari sini tidak hairanlah, mengapa influencer-influencer kebanyakkannya dapat hidup secara mewah. Dengan hanya bekerja secara sampingan di samping pelajar sepenuh masa pun mampu meraih sebanyak kira-kira RM10,000 sebulan.
Bayaran Bagi Setiap Pos (Pay-Per-Post)
PayPerPost adalah satu cara untuk menjana pendapatan yang paling popular dalam kalangan influencer dan content creators. Mana tidaknya, genre untuk Pay-Per-Post ini sangat luas. Ia boleh datang dalam bentuk review produk makanan, produk kecantikan, video mempromosikan satu acara dan macam-macam lagi bentuk.
Untuk lebih mudah difahami, influencer-influencer ini berfungsi sebagai promoter untuk satu-satu produk. Kaedah ini selalu digunakan kerana ia sangat mudah dan menguntungkan lagi-lagi dari pihak influencer sendiri. Hanya perlu promote di akaun media sosial mereka atau pada akaun produk itu sendiri.
Bagi sponsored post seperti ini tidak kisahlah promosi itu berjaya atau gagal yang pastinya selepas melakukan promosi, influencer dah pastinya dapat jana pendapatan.
Bayaran Bagi Setiap Perkongsian (Pay-Per-Share)
Cara penjanaan yang kedua ini lebih mudah jika dibandingkan dengan yang pertama. Mana tidaknya, influencer hanya perlu ambil gambar dan post sahaja. Ayat pun telah diberikan oleh pihak klien. Mudah bukan?
Kaedah penjanaan wang bagi pay-per-share ini sememangnya mudah tapi disebabkan ia begitu mudah bayarannya tidak lah setinggi pay-per-post dan cara penjanaan ini efektif hanya jika influencer ini Mega dan Macro sahaja.
Perlu ingat juga jika sebagai influencer kita mengambil semua bentuk pay-per-share boleh jadi juga senario di mana pengikut mula merasakan perkongsian brand yang dibuat sentiasa berubah-ubah dan influencer tersebut tidak mempunyai loyalty.
Secara langsung marketing yang dibuat akan menjadi kurang efektif.
Pemasaran Gabungan (Affiliate Marketing)
Seterusnya, cara penjanaan pendapatan yang influencer sering lakukan adalah affiliate marketing. Pernah dengar tak ayat youtuber-youtuber yang macam ni “Kalau korang nak beli boleh tekan link dekat bawah dan gunakan promo kod bla bla…”
Ini adalah satu bentuk affiliate marketing. Dengan setiap pembelian yang dibuat melalui link yang disediakan, influencer tersebut akan dapat bahagian mereka. Apa yang lebih menariknya, kaedah penjanaan ini selalu digunakan bersama pay-per-post dan tidak memerlukan modal.
Sambil selam minum air. Influencer boleh gunakan dua kaedah penjanaan pendapatan dengan mudah!
Usahawan
Usahawan ini satu bidang yang selalu diselarikan dengan influencer. Ini boleh dilihat dengan berapa ramai artis-artis yang dah keluarkan produk mereka setelah mereka mendapat pengikut yang ramai.
Sebagai contoh, Neelofa telah keluarkan produk Naelofar Hijab dan Shuib Sepatu telah keluarkan produk minuman Bubble Bee. Jadi kenapa jika dilihat influencer ini selalu dikaitkan dengan usahawan?
Jawapan mudahnya, banyak cara penjanaan pendapatan melibatkan influencer bekerja sebagai promoter atau duta untuk satu-satu produk. Manakala, jika influencer-influencer ini mengusahakan perniagaan mereka sendiri, mereka adalah bos untuk diri mereka sendiri.
Jadi tidak hairanlah, jika dilihat memulakan bisnes dan menjadi usahawan merupakan satu tanda aras yang ingin dikecapi oleh influencer-influencer.
Kesimpulan
Influencer bukan lagi satu karier yang asing dan hanya dilakukan sebagai pekerjaan sampingan. Kini penggunaan internet dan jumlah pengguna sosial media semakin hari semakin meningkat membuka ruang untuk ramai orang menjadi influencer dan seterusnya menjana pendapatan melalui kaedah ini.
Diharapkan artikel Apa Itu Influencer dan Cara Jana Pendapatan Sebagai Influencer ini bermanfaat pada anda. Semoga berjaya.
Baca Juga: