Senarai Media Sosial Dan Penggunaannya Dalam Bisnes
Senarai Media Sosial Dan Penggunaannya Dalam Bisnes | Apakah jenis media sosial yang sangat popular di zaman serba online ini? Jika tidak tahu, di sini akan dikongsikan senarai media sosial terbaik berserta kelebihan penggunaannya dalam dunia bisnes. Penggunaan media sosial dalam bisnes atau perniagaan boleh berikan impak yang besar jika pandai menggunakannya.
Dunia bisnes online sekarang, tidak semestinya anda kena ada perusahaan persendirian, sebaliknya definisi bisnes itu ialah apa sahaja aktiviti yang memberikan pendapatan kewangan kepada anda. Sama ada anda ada perusahaan, atau sekadar agen dropship barang, penulis blog, youtuber, affiliator, personal shopper, penjual insurance, dan lain-lain. Semua itu boleh dikategorikan sebagai sebuah ‘BISNES’. Dan apabila kita ada bisnes, sesuai dengan zaman media sosial sekarang ini, akaun media sosial harus ada jika mahu bisnes semakin berkembang maju.
Kegunaan Senarai Media Sosial Ini Dalam Bisnes
Cuba perhatikan, hampir semua yang berbisnes, mesti ada akaun media sosial sendiri. Kenapa media sosial ni sangat penting bagi yang berbisnes?
Jom tengok beberapa kelebihan penggunaan media sosial di dalam sesuatu bisnes.
- Meningkatkan kesedaran jenama (improved brand awareness)
- Menjimatkan kos (cost effective)
- Berinteraksi dengan pelanggan anda (engage with your customer)
- Memperbaiki kesetiaan jenama (improved brand loyalty)
- Kepuasan pelanggan (customer satisfaction)
- Kesedaran pasaran (marketplace awareness)
- Memperkasakan jenama (more brand authority)
- Meningkatkan trafik (increased traffic)
- Kedudukan SEO yang dipertingkatkan (enhanced SEO rankings)
- Ianya percuma (it’s mostly FREE)
- Penggunaan #Hashtags untuk meningkatkan jangkauan (Use #Hashtags To Increase Your Reach)
- Memastikan pelanggan mendapat berita terkini (keep your customer up-to-date)
Senarai Media Sosial Yang Paling Popular di Dunia
Di bawah ini ialah senarai 10 media sosial dengan pengguna yang paling ramai di seluruh dunia:-
- Facebook (2.7 billion pengguna)
- Youtube (2 billion pengguna)
- Whatsapp (2 billion pengguna)
- Instagram (1.16 billion pengguna)
- TikTok (698 juta pengguna)
- Snapchat (433 juta pengguna)
- Reddit (430 juta pengguna)
- Pinterest (416 juta pengguna)
- Twitter (353 juta pengguna)
- Linkedin (310 juta pengguna)
Mengambil laporan datareportal.com, Malaysia mempunyai jumlah populasi seramai 32.57 juta orang (Januari 2021). Dan seramai 28 juta orang adalah pengguna media sosial.
Dan carta di atas adalah peratusan penggunaan media sosial di Malaysia, didahului oleh Youtube, Whatsapp, Facebook, Instagram, Facebook Messenger, Twitter, WeChat, Telegram, TikTok, Linkedin, Pinterest, Skype, Snapchat, Line, Reddit dan Tumblr.
Saya tak nak membincangkan semua media sosial yang dinyatakan di atas, tapi saya nak pilih hanya 5 (lima) akaun media sosial yang dirasakan wajib ada untuk mereka yang memiliki bisnes.
Senarai Media Sosial Yang Perlu Ada Untuk Orang Yang Berbisnes
Jadi mari kita tengok 5 pilihan akaun media sosial yang sesuai untuk mereka yang berbisnes.
-
Facebook
Facebook dilancarkan sekitar tahun 2004, dan merupakan media sosial dengan pengguna yang paling ramai di dunia. Di Malaysia, 89.1% daripada pengguna media sosial di Malaysia mempunyai akaun Facebook. Kelebihan pada Facebook ialah anda boleh letak gambar, video dan caption / teks yang panjang. Facebook juga mempunyai Facebook Messenger yang menyenangkan anda untuk berinteraksi.
Dan sekiranya anda ingin membuat pengiklanan menggunakan Facebook, anda hanya perlu membuat Facebook Page dan ianya sangat mudah untuk dilaksanakan. Facebook Page juga adalah percuma. Butang LIKE disediakan, dan mereka yang menekan butang LIKE akan menerima kemaskini tentang bisnes anda. Selain itu, anda boleh melakukan page schedule untuk kemaskini akaun Facebook page anda. Ini memudahkan anda merancang masa untuk publish cerita terbaru di page anda.
Anda juga boleh meletakkan link website anda dan ini akan membantu memberikan trafik kepada laman web anda. Bukankah ini semua boleh dianggap zero cost marketing hanya dengan menggunakan Facebook?
-
Instagram
74.7% pengguna media sosial di Malaysia mempunyai akaun Instagram. Antara kelebihan instagram ialah ianya memaparkan gambar terlebih dahulu berbanding teks. Jadi, ianya boleh digunakan sebagai platform untuk eye-catching kepada pelanggan anda dengan menyediakan gambar-gambar yang menarik.
Penggunaan hashtag yang bersesuaian juga membantu bisnes anda mudah untuk di cari. Selain penggunaan gambar, anda juga boleh berkongsi video di platform Instagram, sama ada video singkat (reels) mahupun video berdurasi panjang (IGTV), selain ramai yang memilih untuk berkongsi video LIVE di platform Instagram.
Untuk yang berbisnes, sangat sesuai untuk membuat unboxing mahupun review barang atau produk menggunakan Instagram.
Salah satu tips untuk membina bisnes di Instagram, anda kena selalu mengemaskini akaun Instagram anda dengan perkongsian konten menarik, bertanya khabar kepada followers atau pelanggan anda, serta menjawab soalan di ruang komen. Sekarang ini, lebih ramai yang yakin dengan review yang dibuat oleh pengguna, berbanding menggunakan review selebriti, jadi disarankan anda untuk berkongsi testimonial daripada pelanggan yang menggunakan produk anda.
-
Youtube
Sama ada bisnes anda berskala besar atau kecil, apa yang penting ialah mencari cara untuk meminimumkan kos pemasaran tetapi di dalam masa yang sama berusaha untuk meluaskan cara pemasaran produk anda. Youtube juga salah satu medium media sosial yang boleh digunakan untuk mencari pelanggan untuk produk anda. Youtube merupakan media sosial yang mempunyai pengguna tertinggi hampir 94% daripada 28 juta pengguna media sosia di Malaysia.
Untuk pengetahuan, Youtube merupakan search engine kedua terbesar selepas Google Search. Dan dilaporkan secara global Youtube menerima kehadiran sebanyak 1 billion pelawat setiap bulan.
Salah satu kelebihan Youtube ialah ianya berintegrasi dengan Google Search. Bermaksud, video dari Youtube boleh terpapar di dalam carian Google Search. Dan ini memberikan peluang pencarian yang baik dengan menggunakan kata kunci yang bersesuaian. Dan satu kelebihan Youtube ialah, selain anda boleh melakukan iklan sebagai advertiser untuk produk anda, dalam masa yang sama anda juga boleh menjadi publisher untuk iklan orang lain dan anda mendapat bayaran daripada Google Adsense apabila iklan diklik dari akaun youtube anda (tertakluk terma dan syarat)
-
Twitter
Kalau dulu, saya tidak begitu suka dengan Twitter kerana saya rasa ianya agak membosankan. Tapi itu sebelum saya memahami konsep orang menggunakan Twitter. Sekarang, sudah berbeza. Saya lebih cenderung menyukai Twitter berbanding media sosial yang lain.
Kenapa Twitter?
Twitter bagi saya sangat santai. Hanya membenarkan 140 aksara (kalau tak silap) untuk dijadikan teks, maka tak perlu ambil masa untuk baca benda panjang panjang. Just straight to the point. Membenarkan untuk berkongsi gambar dan video, namun hanya empat gambar per caption sahaja yang dibolehkan, jadi kalau nak share gambar lebih, kenalah buat thread.
Satu kelebihan Twitter yang aku rasa menarik ialah pengguna Twitter sangat mudah nak RETWEET (share) caption orang lain dengan syarat apa yang anda tulis tu menarik, berguna dan bermanfaat. Anda buat tweet, orang lain retweet apa yang anda tulis. Dan anda juga jangan malas nak retweet apa yang orang lain tweet sekiranya bermanfaat.
Jadi bila ramai yang retweet, ini membantu untuk orang lain mengenali atau mengetahui anda mahupun produk anda, dan memberikan anda untuk mencapai audiens baru. Twitter juga membenarkan anda untuk berkongsi link blog, artikel jurnal, berita dengan mudah dan ini membantu dalam membuat zero cost marketing untuk produk anda.
Nak anda dikenali di Twitter? Rajin-rajin juga mengikuti discussion bermanfaat dari mana-mana thread, dan jika anda pakar dalam sesuatu bidang, jangan kedekut berkongsi ilmu jika ada yang bertanya.
-
Tik Tok
TikTok antara platform media sosial yang aku rasa agak baru namun ianya semakin menghampiri 1 billion pengguna secara global. Dan kalau dilihat, Generasi Z merupakan pengguna terbanyak Tik Tok tapi dalam beberapa tahun akan datang aku yakin lebih ramai yang akan beralih kepada penggunaan Tik Tok.
Sebabnya mudah sahaja pasal Tik Tok lebih kepada visual learner dan kita tak perlu video yang panjang-panjang seperti Youtube. Penggunaan Tik Tok lebih kepada perkongsian idea dan ilmu berbanding untuk membuat marketing produk anda semata-mata. Kalau anda rajin create engaging video, rajin follow Tik Tokers lain dan selalu tinggalkan komen dan balas komen, ini cara anda membina kepercayaan untuk meraih followers bagi akaun TikTok anda.
Dan satu lagi kelebihan TikTok, video anda mudah dimuat turun (sekiranya anda memberikan kebenaran kepada pengguna lain) dan boleh dikongsi ke media sosial yang lain dan ini memudahkan anda untuk mendapatkan audiens yang lebih luas.
Jadi untuk mereka yang ada bisnes, gunakan platform TikTok sebagai self branding anda supaya orang kenal anda, dan kenalkan produk anda atau bisnes anda di TikTok, dan gunakan pendekatan soft selling melalui Tik Tok.
Sumber : Search Engine Journal
Kesimpulan, Senarai Media Sosial Sangat Penting Jika Mahu Bisnes Maju Dan Dikenali
Itulah dia antara platform media sosial popular yang bagus digunakan dalam bisnes. Menariknya, semua media sosial ini adalah percuma untuk digunakan. Tak perlu bayar dan keluarkan sebarang modal, sudah boleh miliki akaun media sosial yang pelbagai jenis dengan mudah dan cepat.
Ada banyak lagi platform media sosial yang lain yang anda boleh guna, namun ianya bergantung kepada kesesuaian bisnes yang anda jalankan. Pilihan masing-masing. Yang penting, anda jangan pernah putus asa untuk meng-explore setiap kelebihan platform media sosial ini kerana setiapnya mempunyai kelebihan yang tersendiri.