Pengeluaran KWSP 2.0 Akan Dibenarkan?
Baru-baru ini heboh berita tentang kerajaan membenarkan pengeluaran duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 2.0 setelah kira-kira sebanyak 80,000 petisyen telah ditandatangani meminta pihak kerajaan untuk mempertimbangkan pengeluaran wang simpanan pekerja itu.
Hal ini telah diambil maklum oleh Timbalan Menteri Kewangan II, YB Tuan Mohd Shahar bin Abdullah sendiri, yang menyatakan permintaan ini akan diberi pertimbangan yang sewajarnya oleh pihak kerajaan pada 15 Ogos yang lalu ketika berucap di Dewan Rakyat.
Menurut YB, pihaknya sedang mengkaji rapi input-input yang dimiliki untuk kerajaan mengukuhkan dan mempertingkatkan nilai simpanan KWSP dan sudah pasti KWSP 2.0 juga adalah antara perkara yang sedang dipertimbangkan.
Meskipun, permintaan ini menunjukkan bibit-bibit yang positif khususnya kepada pengguna kita harus ingat permintaan pengeluaran KWSP 2.0 ini masih lagi dalam fasa pertimbangan.
Oleh itu selagi tiada pengumuman rasmi daripada pihak kerajaan mohon berhati-hati dengan info yang diperoleh daripada media sosial terutama sekali jika ia meminta anda untuk memberikan butir-butir peribadi.
Ingat kita perlu sentiasa berhati-hati dan berwaspada dengan informasi-informasi yang disebarkan melalui media sosial dan bukan dari laman web rasmi KWSP. Segala info mutakhir akan dikemaskini KWSP melalui saluran rasmi mereka. Untuk info lanjut sila layari www.kwsp.gov.my
Andaikata permohonan ini mendapat maklum balas yang positif dari pihak kerajaan, dan pengeluaran KWSP 2.0 telah diluluskan oleh pihak kerajaan, susunan strategi tentang pengurusan kewangan perlu diberi penekanan khususnya kepada pihak pengguna.
Jana Pendapatan Melalui Wang Keluaran KWSP 2.0
Macam yang dikongsikan tadi kebarangkalian untuk pihak kerajaan yang diwakili timbalan perdana Menteri Kewangan untuk meluluskan Pengeluaran KWSP 2.0 menunjukkan peluang yang cerah.
Oleh itu, kita sebagai pengguna haruslah bijak dalam memastikan wang yang dikeluarkan itu dapat digunakan dengan sebaik mungkin bukan sahaja untuk menampung kehidupan harian malah digunakan untuk menjana pendapatan.
Baru-baru ini tular satu kes mengenai seorang penjawat awam berumur 58 tahun yang telah kehilangan lebih 500,000 dek ketagihan berjudi. Jadi kita harus jadikan isu ini teladan dan pastikan pisang tidak berbuah dua kali.
Terdapat beberapa kaedah penjanaan wang melalui keluaran KWSP 2.0 yang boleh diikuti:
1.      Melaburkan Wang Pengeluaran KWSP 2.0 Ke Dalam Dana Berdividen Yang Lebih Tinggi
Sedia maklum keuntungan yang boleh diperolehi melalui KWSP adalah dalam lingkungan 4.0 hingga ke 5.5 peratus setahun. Pada kadar ini (5%) seseorang individu boleh memperolehi sekitar RM 26,532 dalam tempoh 20 tahun dengan pelaburan RM 10,000.
Meskipun demikian, terdapat pelbagai lagi alternatif dan skim pelaburan yang boleh memberikan keuntungan yang lebih tinggi dengan kadar risiko yang berpadanan.
2.      Pelaburan Jangka Panjang Pada Dana Berbeza
Sekilas pandang pelaburan jangka panjang mempunyai fungsi yang seakan sama dengan KWSP sendiri tapi apakah kepentingan yang boleh diperolehi? Jawapannya, adalah kepelbagaian sumber!
Meski yang kita ketahui dana dalam KWSP dijaga dan dikawal oleh kerajaan dan kebenaran pengeluaran hanya boleh diberikan jika keadaan ekonomi negara semakin meruncing.
Secara tidak langsung, mengurangkan keupayaan pengguna untuk mengawal pengurusan kewangan diri sendiri. Dengan mempunyai dana pelaburan yang diuruskan sendiri, pengguna mempunyai lebih kebebasan untuk menguruskan kewangan mereka.
3.      Pelbagaikan Dana Pelaburan Anda
Antara alternatif lain yang perlu diberikan pertimbangan adalah dengan melaburkan aset dalam pelbagai dana dalam negara dan luar negara. Anda boleh melabur dalam mana-mana dana yang boleh memberikan keuntungan kepada anda terpulang pada minat anda.
Antara bentuk pelaburan yang menjadi semakin popular kerana kemudahannya adalah roboadvisor seperti Wahed dan Stashaway.
4.      Mulakan Perniagaan Sampingan
Beralih kepada metod penjanaan kewangan yang lebih aktif. Pengeluaran dana KWSP 2.0 juga boleh digunakan sebagai modal awal untuk membuka perniagaan sampingan menerusi pasaran atas talian.
Terdapat pelbagai pasaran atas talian yang mudah untuk diterokai dan menggunakan modal yang minimum seperti laman sesawang Mudah, Shopee, Carousell, Lazada, dan 11street. Jika metod ini terlalu berat untuk digunakan menjadi orang tengah yang mengawal import produk ke dalam negara juga merupakan satu alternatif yang boleh diterokai.
5.      Manfaatkan Aset Yang Anda Dimiliki
Strategi penggunaan wang simpanan pekerja (KWSP) yang baik adalah apabila anda secara konsisten mendapat pulangan yang setimpal dengan menggunakan sumber masa, tenaga, dan kewangan yang minimal.
Cara yang terbaik adalah dengan memasarkan aset-aset yang anda telah miliki seperti rumah kosong, bilik kosong, ataupun ruangan kosong dan menyewakannya pada orang lain. Bahasa mudahnya, anda menjadikan ruangan kosong yang anda ada sebagai AirBnb.
Pengubahsuaian bilik atau rumah hanya menggunakan modal berskala kecil dan pulangan yang akan diperoleh adalah setimpal tanpa memerlukan anda untuk melabur banyak tenaga.
6.      Komersialkan Hobi Anda
Bila topik tentang mengkomersialkan bakat atau minat yang ada pada diri, ramai mula akan berasa sangsi dengan kebolehan dan keupayaan diri. Apa yang jitunya adalah platform-platform komersial seperti YouTube dipenuhi dengan amatur-amatur yang berjaya menjana pendapatan mereka secara konsisten. Ini boleh dilihat dari genre-genre yang ada di YouTube sendiri.
Ada yang berbincang tentang sukan kegemaran, ada yang berbincang tentang makanan dan masakan, dan ada juga yang menggunakan platform ini untuk merakam kenangan manis dengan anak yang tersayang. Modal yang diperlukan hanyalah modal peralatan yang akan digunakan dan selainnya hanya perlukan anda dan minat anda.
Konklusinya, dengan permohonan pengeluaran KWSP 2.0 yang sedang dipertimbangkan pihak kerajaan, pengguna atau pemohon boleh menggunakan peluang yang ada bukan sahaja untuk menyelesaikan isu jangka pendek malah pengguna boleh memanfaatkan peluang ini untuk menjana pendapatan jangka pendek dan panjang dalam usaha untuk memastikan penjanaan kewangan secara konsisten.
Baca Juga: