Menu mee goreng adalah antara menu kegemaran rakyat Malaysia tidak kira samada untuk hidangan sarapan atau makan malam. Dalam artikel ini saya akan kongsikan resepi mee goreng udang yang mudah untuk anda semua.

Bahan-Bahan:

450g (1 peket) mee kuning
5 ekor udang
100g kubis (boleh diganti dengan sayur lain mengikut citarasa anda)
1 biji tomato (potong kepada 4 bahagian)
1 biji telur (optional)
2 sudu cili giling
1 sudu sos cili
1 sudu kicap manis (atau kicap pilihan anda)
1 sudu sos tiram
1/2 cawan air

Bahan Kisar:

1/2 Bawang Holland
3 ulas Bawang putih
2 sudu udang kering
1/2 kiub pati ayam

Cara-Cara:

  • Celur atau rendam sebentar mee kuning di dalam air panas atau air mendidih, setelah mee kuning lembut toskan dan biarkan seketika.
  • Bersihkan udang dan kopek kulitnya kemudian potong pada saiz sederhana.
  • Potong kubis kemudian basuh dan toskan.
  • Bersihkan dan kopek bawang besar dan putih dan masuk ke dalam pengisar (anda boleh juga tumbuk dengan lesung batu atau potong halus bahan-bahan)
  • Tambahkan udang kering yang telah dibersihkan diikuti kiub pati ayam. Kisar bahan-bahan sehingga halus dan sekata.
  • Panaskan kuali dan masukkan sedikit minyak, setelah minyak panas tumiskan bahan yang dikisar sehingga naik bau.
  • Masukan cili giling dan tumis sehingga naik bau seterusnya masukkan sos cili, sos tiram serta kicap dan gaul sekata, kemudian tambahkan udang dan gaul secara berkala seterusnya biarkan sehingga udang masak.
  • Seterusnya masukkan telur dan biar seketika sehingga telur separuh masak kemudian hancurkan telur dan gaul sekata dengan bahan-bahan lain.
  • Setelah itu masukkan sayur dan perasakan dengan garam, gula dan serbuk perasa (jika menggunakannya) dan tambahkan air.
  • Akhir sekali tambahkan mee goreng yang sudah di celur tadi dan gaul sekata. Setelah itu, anda boleh rasa mee goreng udang anda dan boleh perasakan sekali lagi jika tidak menepati citarasa anda.

Selamat mencuba resepi mee goreng udang yang mudah ini.